22.2.13
Sejarah Kewujudan Maahad Muhammadi Perempuan
1 April 1937, merupakan tarikh keramat dan berkat kerana bermulanya era kewujudan sebuah sekolah agama beraliran arab mengikut sistem persekolahan Mesir. Pengasasnya ialah Said Abu Bakar bin Abdullah bin Abdul Rahman Al-Attas. Dikenali dengan nama Madrasah Muhammadiah dengan bangunan asal dibina oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Bilangan pelajar berjumlah 75 orang pelajar lelaki dan 3 orang pendidik.
Pada 1 Julai 1942, madrasah ini berpindah ke bangunan baru di Jalan Merbau dengan mendapat nama baru , Jame' Merbau Al-Ismaili sempena nama sultan yang memerintah ketika itu. Tahun 1992, pengajian memuncak dengan wujudnya darjah tertinggi sehingga darjah 9 , bilangan pelajar 9 orang.
Pada tahun 1956, Jame' Merbau Al- Ismaili berpindah ke bangunan batu dan diberi nama baru iaitu Maahad Muhammadi bersempena dengan nama Sultan Muhammad.
Tanggal 1990, Sijil Tertinggi Maahad Muhammadi diiktiraf oleh Universiti Al -Azhar di Mesir. Walaubagaimanapun, tahun 1970-an keadaan ini berakhir kerana sistem baru berdasarkan tingkatan diperkenalkan mulai dari kelas peralihan hingga ke tingkatan 6 atas.
1 Julai 1982, Maahad Muhammadi dibahagi kepada Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan dengan ditadbir oleh mudir dan pentadbiran masing-masing. Akhirnya, Maahad Muhammadi Lelaki (MML) dipindah ke Pengkalan Chepa kecuali tingkatan 6 atas dan 6 bawah kekal di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) sehingga tahun 1985. Tanggal 1 Januari 1985, perpisahan mutlak antara MMP dan MML yang mana para pelajar tingkatan 6 atas dan 6 bawah ditempatkan di bangunan lama SMU Falahiah, Pasir Pekan. Dari awal penubuhan hingga sekarang Sekolah Maahad telah ditadbir oleh 17 orang mudir.
Pada tahun 1989, sekolah ini telah dijadikan sekolah anak angkat YMM Tuanku Raja Perempuan Kelantan. Pada waktu itu jumlah pelajar ialah 1757 dan tenaga pengajar seramai 85 orang. Sehingga sekarang jumlah pelajarnya mencecah angka 2469 orang dan jumlah pengajar seramai 119 orang termasuklah guru-guru tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
MMP turut tidak ketinggalan dalam menongkah arus sains dan teknologi, kenyataan ini jelas dengan wujudnya kelas aliran sains tulen bermula tahun 1995. Sejak diperkenalkan, sambutan yang hangat diberikan oleh pelbagai pihak dan prestasi pelajar-pelajar aliran sains ini amat cemerlang.
Kejayaan yang ditempa oleh MMP sukar untuk diungkap dengan kata-kata sama ada dalam bidang akademik, ko-kurikulum, mahupun keluhuran peribadi pelajar-pelajarnya. Semoga MMP terus gemilang di persada dunia dan Insya-Allah akan terus menyulam bakti kepada agama, masyarakat, dan Negara dengan berkat doa semua pihak... Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment